Reezal Merican

Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerajaan akan menghantar pegawai dan kakitangan termasuk Duta Besar Malaysia ke Pyongyang pada waktu yang bersesuaian.

“Malaysia masih mengekalkan hubungan diplomatik dengan Korea Utara meskipun insiden pembunuhan Kim Jong-nam telah mencetuskan ketega­ngan hubungan dua hala antara kedua negara itu.

“Sebagaimana kelaziman yang dilakukan da­lam mana-mana hubungan diplomatik, pada waktu ini, tidak ada lagi cadangan untuk menutup kedutaan atau memutuskan hubungan diplomatik antara kedua negara,” katanya ketika sesi soal jawab dalam sidang Dewan Negara hari ini.

S. Nallakaruppan
S. Nallakaruppan

Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri S. Nallakaruppan yang mahu mengetahui sejauh mana krisis Kuala Lumpur-Pyongyang menjejaskan hubungan dua hala negara dan rasional kerajaan tidak membatalkan terus hubungan diplomatik sedia ada.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, sikap pragmatik yang diamalkan oleh Malaysia juga berjaya menyelesaikan isu Korea Utara tanpa penglibatan orang tengah.

“Jadi, apabila kita mengamalkan sikap itu dalam hubungan diplomatik, kita tidak ada tekanan daripada mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang boleh memutuskan apa yang Malaysia perlu lakukan.

“Sebab itu, ketika insiden ini berlaku, kita lihat tiada keperluan untuk menggunakan orang ketiga. Sebaliknya boleh melakukan run­di­ngan secara langsung,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia menerusi sikap pragmatik itu juga mendapat bantuan dan sokongan daripada beberapa negara ASEAN antaranya Indonesia, Pakistan dan Kesatuan Eropah.

“Rakyat Malaysia dibantu oleh beberapa rakan kita, malah salah seorang daripada mereka turut diberi bantuan ketika ditahan di lapangan terbang.

“Inilah kelebihan hasil daripada sikap pragmatik dalam hubungan diplomasi,” katanya menjawab soalan tambahan Nal­lakaruppan yang meminta menjelaskan mengapa Malaysia tidak menggunakan orang tengah dalam rundingan dengan Korea Utara.