Beliau berkata, untuk tahun 2018, hasi negara dianggarkan akan berkurangan sebanyak RM21 bilion selepas anggaran kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk tempoh September sehingga Disember tahun ini hanya RM4 bilion.

Ini kata Guan Eng akan menyebabkan negara kehilangan hasil cukai berasaskan kepenggunaan bersih berjumlah RM17 bilion bagi tahun 2018.

Bagaimanapun kata beliau, pengurangan kutipan cukai akibat pemansuhan GST itu akan diimbangi oleh tambahan hasil berkaitan petroleum yang dijangka berjumlah RM5.4 bilion.

Ini berikutan peningkatan harga minyak mentah Brent purata kepada AS$70 setong berbanding andaian AS$52 setong yang diguna pakai dalam Bajet 2018.

Selain itu katanya, tambahan dividen yang dianggar sebanyak RM5 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Petronas dan Khazanah Nasional Berhad akan turut menyumbang kepada hasil negara.

Guan Eng memberi penjelasan sedemikian ketia menjawa soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bertanya berapakah jumlah pengurangan hasil pendapatan kerajaan apabila GST dihapuskan dan apakah strategi Kerajaan untuk menampung semula kekurangan hasil pendapatan tersebut. - UTUSAN ONLINE