Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, data berkenaan diperoleh berikutan bayaran dibuat sebelum barang-barang import dilepaskan daripada kawalan kastam di pelabuhan, sempadan dan lapangan terbang.

Beliau bagaimanapun berkata, anggaran pendapatan ke­seluruhan kerajaan daripada hasil pelaksanaan GST sejak 1 April lalu belum diperoleh oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Contohnya, bagi April, penyata GST perlu dihantar pada mana-mana tarikh antara 1 Mei hingga 31 Mei ini dan pada 1 Jun, barulah kastam tahu jumlah kutipan untuk bulan April,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) yang bertanyakan jumlah hasil terkini diperoleh kerajaan menerusi pelaksanaan GST sejak 1 April lalu.

Menurut Ahmad, bagi perniagaan berpendapatan tahunan melebihi RM5 juta, penyata GST perlu dihantar sebelum atau pada hari terakhir bulan berikutnya manakala bagi perniagaan berpendapatan tahunan kurang RM5 juta, penyata GST yang dihantar merangkumi tempoh tiga bulan.

“Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan menjangkakan anggaran kutipan hasil GST bagi tahun 2015 untuk tempoh sembilan bulan selepas pelaksanaan GST pada 1 April adalah sebanyak RM23.2 bilion.

“Namun jumlah tersebut tidak termasuk penolakan hasil ke atas beberapa barangan yang baru diberi kadar sifar GST selepas pembentangan Bajet 2015 seperti tambahan senarai produk petroleum RON95, LPG (gas petroleum cecair), ubat-ubatan dan alat bantuan OKU (orang kurang upaya),” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, beliau akan terus me­minta pengilang bagi 295 barang supaya menurunkan harga berikutan pelaksanaan GST sebanyak enam peratus adalah lebih rendah daripada kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus sebelum ini dan beberapa barang juga tidak dikenakan cukai.

“Saya sudah minta kilang-kilang ini untuk umum penurunan harga barang mereka sebagaimana syarikat-syarikat pengeluar kereta tetapi sehingga sekarang mereka masih belum berbuat demikian, saya akan terus minta mereka melakukannya,” katanya.