Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sasaran untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia dalam arena bola sepak antarabangsa dapat dicapai melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Menurut beliau, pada masa ini, seramai 21,000 pemain muda berusia antara tujuh hingga 17 tahun dilatih dalam program kendalian Majlis Sukan Negara dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu.

“Saya kira dalam tempoh 10 tahun lagi kita akan lihat generasi ini menjadi pemain kebangsaan.

“Falsafah permainan yang baharu akan dapat dilihat dalam diri pemain malah bakal mengubah corak permainan di seluruh liga Malaysia, saya yakin kita akan lihat kebangkitan tersebut," katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Khairy menambah, walaupun timbul cadangan daripada sesetengah pihak untuk menggantikan skuad bola sepak kebangsaan dengan pemain-pemain muda namun pandangan jurulatih juga perlu diambil kira.

“Jurulatih berpandangan kita tidak boleh pergi dari tadika terus ke universiti, kena lalui langkah untuk menjadi pemain senior,” katanya.

Beliau memberitahu, jika pendedahan diberikan terlalu awal, pemain-pemain muda tersebut dikhuatiri tidak mempunyai ketahanan dan pengalaman yang secukupnya sehingga boleh menyebabkan prestasi yang diharapkan gagal dicapai.

habis-