Ahli Dewan Negara, Senator Ramli Shariff yang menyifatkan warga SPRM sebagai wira tidak didendang berkata, komitmen tinggi yang diamalkan oleh suruhanjaya itu dalam melaksanakan tanggungjawab turut membantu menaikkan imej negara.

“Disebabkan tindakan dan kerja keras mereka inilah kita boleh memperbaiki imej negara dan persepsi luar mengenai rasuah menurun ke tahap rendah.

“Malah, mereka tidak dapat menyatakan secara umum kepada awam apa yang dilakukan. Jadi, inilah merit yang mereka perlukan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2017) 2018 dalam Dewan Negara, hari ini.

Rang undang-undang tersebut yang melibatkan perbelanjaan tambahan berjumlah RM7.123 bilion antara lain memperuntukkan sebanyak RM35 juta untuk SPRM.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar beberapa insentif baharu diperkenalkan bagi menghargai jasa pegawai dan anggota SPRM. – UTUSAN ONLINE