Dzulkefly Ahmad

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, harga produk tembakau termasuk rokok perlu dinaikkan apabila terdapat ma­na-mana cukai dinaikkan berdasarkan Peraturan 8A Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Atas sebab itu kata beliau, pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) baru-baru ini akan menyebabkan harga bagi semua jenis produk tembakau termasuk rokok dinaikkan.

“Kementerian Kesihatan sedang menyelaraskan kelulusan harga rokok terkini kerana di bawah Peraturan A, harga perlu dinaikkan apabila terdapat cukai dinaikkan.

“Harga produk tembakau adalah berbeza mengikut permohonan, walau bagaimanapun harga sedia ada yang terikat ketika ini perlu dinaikkan sebab ada SST,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly memberitahu, semua penganjur pesta arak, Oktoberfest wajib mempamerkan notis ‘Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan’ pada semua label produk dan kabinet jualan minuman beralkohol.

Jelas beliau, peraturan tersebut turut melibatkan semua pengusaha yang menjual minuman beralkohol susulan pe­nguatkuasaan peraturan baharu penjualan arak dan penetapan piawaian am minuman beralkohol membabitkan Sebatian Minuman Keras (CHL).

Ujarnya, pindaan pada Peraturan 361 dan 386A, Peraturan-peraturan Makanan 1985 bertujuan mengawal keselamatan dan kualiti produk alkohol serta memberi maklumat tepat kandungan arak kepada pengguna.

Beliau berkata, pindaan ke atas Peraturan 361 pula adalah menaikkan had larangan penjualan minuman beralkohol kepada mereka berumur kurang 21 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.

“Selaras dengan pindaan peraturan baharu ini juga, penganjur Oktoberfest terikat dengan apa yang ditetapkan kemente­rian. Saya akan bertemu de­ngan penganjur Oktoberfest untuk mengingatkan mereka agar mematuhi peraturan baharu ini,” katanya.