Noh Omar
Noh Omar

Menteri Kesejah­teraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, keputusan itu dipe­ngaruhi oleh harga tanah yang berkait rapat dengan lokasi, premium tanah dan penukaran syarat kos tanah.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mempengaruhi kadar harga rumah seperti mengenakan caj pembangunan dan pematuhan misal­nya di Selangor sebanyak 19.52 peratus bagi perlindungan utiliti dan pemasangan air serta elektrik.

“Apabila pemaju hendak membangunkan perumahan di negeri tersebut, kerajaan negeri akan mengenakan kuota bagi membina perumahan kos rendah, contohnya di Selangor sebarang perumahan yang melebihi 2.02 hektar pemaju perlu membina 30 peratus rumah mampu milik.

“Walau bagaimanapun, pemaju akan me­ningkatkan harga jualan bagi rumah bebas bagi menampung kos rumah mampu milik tersebut manakala kerajaan ne­ge­ri Selangor pula langsung tidak menyumbang sebarang bantuan kewangan untuk pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) dalam sidang Dewan Rak­yat di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Noh berkata, dalam memastikan kestabilan harga rumah, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan dasar membina 1 juta unit rumah mampu milik menjelang 2018.

Jelas beliau, bagi mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Per­se­kutuan tidak akan bergantung terhadap pihak swasta semata-mata, sebaliknya bekerjasama de­ngan pelbagai agensi termasuk Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan agensi lain.

Di samping itu katanya, kerajaan turut memperkenalkan pembayaran deposit rumah melalui skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome.

“Kerajaan turut mengumumkan pembinaan rumah mampu milik melalui syarikat milik kerajaan (GLC) di tanah-tanah persekutuan yang dikenal pasti.

“Untuk makluman, isu tanah ini juga akan di bawa ke mesyuarat Majlis Perumahan Negara akan datang bagi menyelaraskan harga dengan kerajaan negeri,” katanya.