Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, keadaan itu disebabkan masih ramai dalam kalangan masyarakat negara ini yang gagal membezakan antara keperluan dan kehendak ketika berbelanja.

“Justeru, Bank Negara Malaysia (BNM) menubuhkan Jaringan Pendidikan Kewangan (FE Network) bagi memberi pendedahan di peringkat belia mengenai simpanan dan pelaburan.

‘‘Kita menyedari usaha ini akan melalui jalan yang mencabar tetapi dengan kerjasama pelbagai insitusi swasta dan kerajaan, kita yakin ia dapat meningkatkan keyakinan pengguna dalam membuat keputusan kewangan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Anuar Abd. Manap (BN-Sekijang) mengenai perancangan kerajaan dalam melaksanakan program JE ketika sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Othman turut menyelar Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) yang mendakwa kegagalan masyarakat membuat simpanan adalah kerana tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi.

Jelas beliau, kerajaan menyediakan pelbagai program bagi membantu meningkatkan kos sara hidup masyarakat terutama golongan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan kumpulan berpendapatan 40 peratus sederhana (M40).

‘‘Mustahil langsung tiada duit, zaman ketika dahulu belanja 20 sen pun masih boleh menyimpan. Malah, kerajaan telah mewujudkan pelbagai program bantuan kewangan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional bagi membantu mendapatkan pendapatan tambahan,” katanya.