Kegiatan tidak bertanggungjawab itu semakin berleluasa kebelakangan ini walaupun kerajaan telah mengambil inisiatif untuk menggubal rang undang-undang bagi mengekangnya.

Yang terbaharu, timbul berita palsu mengenai sebuah sekolah di Selangor tidak menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan kenaikan kadar sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR).

Golongan artis turut tidak terlepas daripada menjadi mangsa. Contohnya, berita palsu kononnya penyanyi rock terkenal, Datuk Awie meninggal dunia masih tular dalam media sosial sehingga kini.

Individu yang mengada-adakan berita palsu dan mereka yang menyebarkannya tidak akan menghentikan perbuatan mereka selagi tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Justeru, rang undang-undang bagi menangani berita palsu yang dijangka akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini amat dinantikan banyak pihak.

Semua ahli Parlimen termasuk dalam blok pembangkang seharusnya sedar bahawa langkah itu bertujuan menjaga kepen­tingan rakyat, khususnya mereka yang menjadi mangsa berita palsu.

Mungkin ada pihak yang membantah dengan menggunakan alasan rang undang-undang itu akan mengekang hak kebebasan bersua­ra dalam kalangan rakyat.

Sepatutnya mereka sedar bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan untuk me_nipu dan memfitnah mana-mana individu, institusi atau organisasi.

Sama seperti undang-undang yang lain, hanya mereka yang dibuktikan bersalah sahaja yang dikenakan hukuman oleh mahkamah.

Bagi mereka yang tidak me­lakukan kesalahan, tiada apa yang perlu dirisaukan.