Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, berdasarkan surat pekeliling bertarikh 19 Disember 2018 yang lalu, kementerian telah meminta setiap sekolah menyediakan kawasan rehat guru, agar guru dapat berehat terutama antara selang waktu mengajar atau selepas waktu mengajar.

“Dalam lawatan ke sekolah-sekolah, saya dapati perlu kawasan rehat guru yang kondusif selain daripada bilik guru. Bilik guru selalunya ruang kerja jadi mereka perlu satu ruang untuk mereka berehat dan ini saya lihat ia satu keperluan buat guru selepas mereka penat mengajar.

“Ada sekolah yang telah menyediakannya tetapi banyak sekolah yang belum ada lagi. Ini penting kerana dari segi psikologinya, guru juga adalah manusia biasa yang perlu ruang untuk berehat,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pihaknya amat menggalakkan penglibatan pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan alumni bagi membantu pihak sekolah menyediakan kawasan rehat guru tersebut.

“Paling asas kemudahan yang ada dalam kawasan rehat guru itu adalah antaranya kerusi untuk berehat dan juga ruang untuk membuat minuman, malah ada sekolah juga meletakkan televisyen.

“Ada juga sekolah di Sarawak yang kreatif yang mewujudkan ruang rehat itu di bahagian anjung, dengan suasana yang nyaman malah penduduk kampung juga membantu dengan menyediakan buah kelapa untuk diminum, jadi penglibatan masyarakat juga adalah penting,” katanya. - UTUSAN ONLINE