Beliau mengakui perbuatannya itu sebagai 'unparliamentary' dan melanggar Peraturan Mesyuarat 36 (4).

"Saya amat kesal dengan ungkapan tersebut dan sesungguhnya saya dengan suci hati memohon maaf kepada Yang Dipertua dan kepada dewan yang mulia ini terutama sekali ahli-ahli Parlimen wanita," katanya selepas sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau turut memberi jaminan tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa depan.

Bung Moktar mengeluarkan perkataan tidak sopan 'f*** you!' ketika perbahasan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 pada 7 Ogos lepas.

Permohonan maaf itu kemudian diterima Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang berharap kesemua anggota Parlimen dapat berbahas dengan berkualiti dalam usaha menjadikan Parlimen Malaysia berkelas dunia.


Zuraida, yang juga Anggota Parlimen Ampang, turut menarik kembali usul merujuk Bung Moktar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang terdapat pada aturan urusan mesyuarat pada hari ini.

"Kerajaan baharu mengamalkan sikap yang terbuka dan toleransi yang tinggi. Oleh itu, saya amat berharap kita buang tabiat yang buruk untuk memartabatkan dewan yang mulia ini," katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kemudian menganggap perkara berkenaan telah selesai dengan penerimaan permohonan maaf berkenaan.

"Saya menganggap perkara ini telah selesai dengan sebaik-baiknya dengan semangat ukhwah. Tahniah bagi kedua-dua belah pihak kerana meningkatkan kedudukan dewan yang mulia ini," katanya.


Ekoran penarikan usul berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong mengemukakan usul bagi menangguhkan sesi Dewan Rakyat sehingga 4 petang bagi membolehkan pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas bagi tempoh 2018-2020 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kemudiannya dipersetujui anggota Dewan Rakyat. - BERNAMA