“Dalam sistem kewangan Islam negara, kita melihat kepada kaedah baharu bagi memastikan akta baharu digubal bukan hanya merangkumi jualan kredit tetapi mikrokredit yang diberikan selama ini.

“Kita akan lihat supaya digunakan sistem patuh syariah Islam yang lebih baik. Mungkin kita berikan pilihan kepada bank-bank yang ketika ini gunakan sistem sedemikian rupa,” katanya.

Beliau berkata de­mikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Nik Mazian Nik Mohamad (PasPasir Puteh) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai usaha tertentu untuk mewujudkan peraturan kewangan tanpa unsur riba pada sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun (BN-Kota Tinggi) mengenai langkah melin­dungi peminjam yang dikenakan caj bayaran lewat oleh syarikat pemberi kredit, Hamzah menjelaskan, satu formula pengiraan akan diperkenalkan.

Katanya, pengenalan caj bayaran lewat itu bergantung kepada kadar inflasi dan polisi kewangan semasa caj bayaran yang ditetapkan.

“Melalui pindaan bab 3(B) Akta Perlindungan Pengguna (Pindaan 2017), menteri mempunyai kuasa tetapkan kadar caj bayaran lewat di bawah Peraturan Bayaran Kredit 2017.

“Sehubungan itu, dalam draf Peraturan-peraturan Perlindu­ngan Pengguna 2017 tersebut, kita cadangkan satu formula pengiraan caj barang lewat yang seragam, berpatutan diperkenalkan,” jelas beliau.