Sehubungan itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, pihaknya sudah menggerakkan aset untuk menggali air bawah tanah di dua buah lokasi di negeri itu.

“Memang ada beberapa kawasan yang bermasalah dengan air terawat, khususnya di Kedah. Ketika ini, agensi kementerian sudah ke sana dan kita sudah menggali di dua kawasan iaitu Tupah dan Merbok bagi mendapatkan air bawah tanah untuk digunakan di negeri itu.

“Jika dalam beberapa hari ini kita tidak dapat air, kita akan hantar lori yang besar dengan air terawat kepada kawasan tertentu yang terjejas. Saya juga sudah arahkan agensi kementerian untuk membuat kajian dan memaklumka mengenai kawasan keutamaan yang menghadapi masalah di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri membuat catuan bekalan air di kawasan Merbok dan Semeling ekoran cuaca panas melampau yang berlaku sejak bulan lalu.

Jelas Xavier lagi, ketiadaan hujan menjadi punca utama bekalan air terawat terjejas di Kedah ketika ini, oleh itu kerajaan perlu mencari alternatif sumber air lain bagi berdepan situasi seumpamanya ketika ini dan masa depan.

“Apa yang saya tahu, kita ada banyak air bawah tanah. Kita perlu jalankan penyelidikan berhubung perkara ini jika berlaku kecemasan seperti sekarang pada masa depan,” katanya. - UTUSAN ONLINE