Richard Riot Jaem

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, langkah itu diambil bagi memperbaiki skim gaji di negara ini sei­ring peredaran ekonomi semasa.

“Kementerian sedang menjalankan kajian gaji permulaan bagi setiap sektor pekerjaan mengikut bandar dan daerah masing-masing.

“Kita harap kajian ini dapat disiapkan dan dikukuhkan dalam tempoh enam bulan,” katanya menjawab soalan tambahan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya) mengenai langkah kerajaan memperbaiki skim gaji bagi lepasan universiti ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu Riot memberitahu, peruntukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan dikurangkan sekiranya tidak mengambil bahagian dalam Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

Ketegasan itu senada dengan yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari lalu, meletakkan langkah itu sebagai prasyarat bagi syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia untuk mendapatkan kontrak kerajaan.

“Perdana Menteri telah me­nyatakan GLC kena ambil bahagian dalam program SL1M dan sekiranya gagal tindakan akan diambil iaitu mengurangkan peruntukan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai tindakan kerajaan terhadap GLC yang tidak membantu mengurangkan pengangguran.

Menurut Riot, kadar pengangguran dalam kalangan belia didapati meningkat sebanyak 1.2 pe­ratus melibatkan 273,600 orang pada 2015 berbanding 248,000 pada tahun sebelumnya.

Katanya, kadar pengangguran dalam kalangan belia merupakan fenomena yang turut dialami beberapa negara membangun dan maju di seluruh dunia kerana golongan berkenaan dalam proses peralihan antara pembelajaran dan pasaran kerja.