Abdul Rahman Dahlan
Abdul Rahman Dahlan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (gambar) berkata, masalah akan timbul apabila pihak syarikat terpaksa mengurangkan pekerja atau menutup operasi.

“Perkara ini akan me­ngundang masalah pengganguran kerana syarikat tidak lagi mampu membayar gaji minimum dan pihak yang rugi adalah pekerja.

“Kita perlu berhati-hati dalam soal ini kerana ia perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut keadaan semasa,” katanya semasa menggulung perbahasan Bajet 2018 bagi Jabatan Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Charles Anthony Santiago (DAP-Klang) ketika mencelah perbahasan tersebut meminta penjelasan sama ada kadar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan akan dinaikkan atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pakatan pembangkang cuba mencipta persepsi bahawa perbelanjaan mengurus sebanyak RM234.5 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2018 digunakan untuk membayar gaji dan pencen penjawat awam.

Menurut beliau, hanya 33.8 peratus daripada peruntukan tersebut digunakan bagi pembayaran gaji manakala bagi pencen pula adalah 10.5 peratus.

“Pakatan pembangkang cuba memberi persepsi seolah-olah kerajaan tidak dapat mengekang kos pengurusan, ini tidak betul,” katanya.