RAZALI IBRAHIM

Langkah tersebut dirancang bagi membantu peneroka Felda agar mereka tidak perlu lagi menanggung kos hutang pinjaman yang besar ketika setiap kali tanaman semula dibuat seperti diamalkan ketika ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim memberitahu, setakat ini kos tana­man semula kelapa sawit milik seluruh peneroka Felda adalah RM3.5 bilion dan jumlah itu akan terus meningkat pada masa hadapan.

Beliau walau bagai­ma­napun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai tabungan tersebut kerana jelasnya, perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila tiba masanya kelak.

“Insya-Allah akan laksanakan (tabung simpanan) ke­­rana apa? Dulu kita mungkin tidak pera­san perusahaan itu ber­asaskan pokok yang akan matang dan perlu ditebang. Kita belanjakan RM3.5 bilion untuk tanam semula.

“Pada masa depan, kosnya akan meningkat berbilion lagi, sudah tentu kita perlu cari jalan elak hutang seperti hari ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Adam Abdul Hamid di Dewan Negara hari ini.

Dalam perkembangan berasi­ngan, ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Norahan Abu Bakar mengenai langkah Felda membeli hotel di London yang dilihat masih gagal menyumbang kepada keuntungan, Razali berkata, perkara itu sedang ditangani.

Jelasnya, pelaburan dalam bidang perhotelan sememangnya akan mengambil masa yang panjang sebelum keuntungan dapat dituai, tetapi yakin keputusan diambil Felda untuk membeli hotel di London dibuat selepas pertimbangan rapi dijalankan.

“Namun begitu, perkara tersebut sedang kita tangani dan kita juga sedang melihat perkara itu memandangkan ketika ini kadar tukaran asing serta nilai harta­nah di London sedang menurun,” ujarnya.