Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, aset-aset bukan strategik yang dikenal pasti untuk dijual itu terletak di Sabah, Sarawak dan London.

Katanya, penjualan itu dijangka menyumbang sebanyak RM2.2 bilion kepada agensi itu selain akan mengadakan pertemuan dengan institusi-institusi kewangan tempatan dalam usaha mengurangkan beban hutang tersebut.

“Melalui kaedah-kaedah ini Felda dijangka mengurangkan hutang sebanyak 15 peratus kepada RM6.8 bilion pada akhir tahun ini.

“Kaedah ini dapat menampung sebahagian daripada komitmen Felda kepada 112,635 peneroka,” katanya ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai dakwaan aliran tunai Felda yang hampir kosong di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, walaupun aliran tunai Felda kini kritikal, namun kerajaan terus memberikan komitmen untuk memulihkan kewangan Felda dalam dua tahun akan datang.

“Kerajaan memberikan komitmen untuk memulihkan FELDA secepat mungkin demi kesejahteraan peneroka-peneroka selaras dengan matlamat penubuhan FELDA di bawah Akta Kemajuan Tanah 1956,” ujar Azmin. - UTUSAN ONLINE