Beliau berkata, pendekatan itu merupakan antara inisiatif yang difokuskan menerusi pelan jangka panjang penerapan Dasar Wasatiyyah Negara (DWN) kepada golongan belia dalam menghadapi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Sememangnya DWN memberi tumpuan kepada golongan belia melalui bidang strategik pertama iaitu pendidikan dan belia. Antara inisiatif lain adalah penerapan nilai-nilai murni yang terkandung dalam pendekatan wasatiyyah dan pengalaman yang dapat direalisasikan.

"Selain itu, pemerkasaan generasi muda melalui penghayatan nilai-nilai wasatiyyah dalam usaha melahirkan belia seimbang dan berketerampilan bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Muhamad Mustafa yang meminta perdana menteri menyatakan apakah nasib institusi-institusi yang diberi amanah oleh kerajaan untuk membuat kajian dan membina DWN serta sejauh manakah pencapaiannya setakat ini dan jumlah peruntukan yang disediakan bagi institusi berkenaan.

Asyraf berkata, bagi merealisasikan penghayatan wasatiyyah kepada generasi muda dalam menghadapi TN50, penekanan diberi kepada pembentukan nilai, pemikiran dan tindakan berdasarkan kepada prinsip 4K iaitu kesederhanaan, keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan.

Hasil daripada siri bengkel dan perbincangan melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik, satu dasar dirangka dengan memberi tumpuan kepada enam bidang strategik iaitu pendidikan dan belia, ekonomi dan pembangunan, pentadbiran dan perundangan, perpaduan dan sosial, politik dan kenegaraan serta keselamatan dan pertahanan, katanya.

"DWN diluluskan kerajaan pada 21 Okt tahun lepas selaras dengan matlamat untuk melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang harmoni. Institut Wasatiyyah Malaysia diamanahkan kerajaan untuk membina DWN dan hanya institut berkenaan diberikan peruntukan untuk membangunkan DWN," katanya. - BERNAMA