SHAHRUDDIN

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, pihaknya bagaimanapun akan sentiasa memantau kesemua kelab berkenaan dari sudut salah laku, jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kementerian akan bertindak dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

“Kita alu-alukan aduan daripada orang ramai untuk dilakukan serbuan dan operasi.

“Kelab Blue Boy saya difahamkan ter­ke­nal di seluruh dunia kerana pamer per­khidmatan di media sosial. Blue Boy dikenali dalam kalangan pelancong-pelancong Eropah kerana mereka taste (minat) orang Asia,” katanya sewaktu menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Dalam perkembangan lain, Shahruddin berkata, kementerian komited untuk meneruskan Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) demi kesejahteraan penduduk ibu kota.

Katanya, kementerian akan memastikan Rumawip selaras dengan hala tuju dan panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku peneraju perumahan negara.

Sehingga 31 Ogos lalu katanya, sebanyak 7,071 unit Rumawip melalui 12 projek telah dilaksanakan dengan penawaran harga di bawah RM200,000.

Mengulas mengenai saman trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jelasnya, kementerian sedang bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak tidak dapat memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak lima juta kompaun de­ngan nilai hampir RM940 juta saman tertunggak sedang didaftarkan untuk dihubungkan de­ngan sistem rangkaian JPJ.

Katanya, selain disenaraihitamkan JPJ, pesalah trafik juga akan dikenakan waran tangkap dan nama-nama mereka akan diterbitkan dalam akhbar-akhbar tempatan.

“Mungkin itu perkara-perkara yang boleh mendatangkan kege­runan kepada pesalah-pesalah trafik di ibu kota,” ujarnya.