AMIRUDDIN HAMZAH
AMIRUDDIN HAMZAH

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 itu, denda yang ditetapkan adalah 40 kali ganda daripada nilai cukai atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika jumlah cukai itu tidak dapat ditentukan, golongan terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 dan tidak kurang RM50,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi individu yang culas membayar cukai pula, denda maksimum yang dicadangkan ialah RM20,000 dan tidak kurang RM2,000 atau dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, kesalahan kerana memberi maklumat palsu boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Di bawah RUU berkenaan, mana-mana individu yang membuat tuntutan palsu pula boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya atau pe­nalti dua kali ganda amaun bayaran balik yang dituntut.

Pihak yang meng­halang pegawai pe­nguat kuasa menjalankan tugas bo­leh dipenjarakan maksimum lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali pertama dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut membentangkan RUU Cukai Jualan 2018; RUU Cukai Perkhidmatan 2018; RUU Kastam (Pindaan) 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018 bagi membolehkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Melalui RUU Cukai Jualan, ia memperuntukkan cukai dikenakan dan dilevikan ke atas mana-mana barang bercukai yang dikilangkan di Malaysia dan dijual, digunakan atau dilupuskan oleh pengilang berdaftar, atau barang bercukai yang diimport ke dalam Malaysia oleh mana-mana orang.

Sementara, RUU Cukai Per­khid­matan pula memperuntukkan bagi mengenakan, melevikan dan memungut cukai perkhidmatan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

Menerusi kedua-dua RUU berkenaan, ia menetapkan menteri boleh menetapkan kadar cukai yang hendak dikenakan dan dilevikan serta mengubah atau meminda kadar cukai berkenaan, melalui perintah yang disiarkan dalam warta.