Menurut sumber dalam pemimpin tertinggi parti itu, dua hakim Mahkamah Rayuan yang bersara kini menjadi pilihan walaupun mendapat tekanan daripada PKR supaya melantik orang-orangnya sebagai sebahagian kompromi bagi keadaan di mana wakil pilihannya diketepikan untuk jawatan menteri besar di beberapa buah negeri.

Sumber itu berkata, bekas hakim, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof dan Datuk Seri Mohd. Hishamudin Yunos disukai bukan sahaja kerana pengetahuan mereka mengenai undang-undang, tetapi juga kerana tiada kesetiaan politik yang ditunjukkan ketika mereka bertugas dulu.

“Kedua-dua hakim itu bersara pada 2015. Mereka terkenal dengan beberapa penghakiman yang tidak memihak kepada pihak berkuasa, terutama dalam kes berkaitan dengan undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Rahsia Rasmi.

“Hishamudin juga terlibat dalam beberapa penghakiman penting yang menyentuh isu perlembagaan, termasuk kes wanita yang dilahirkan ibu bapa Hindu, mencabar penukaran agamanya kepada Islam oleh pihak berkuasa agama Pulau Pinang, dan meminta kes itu diperdengarkan di mahkamah sivil,” kata sumber berkenaan seperti dipetik laporan Free Malaysia Today di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE