Senator Tan Sri S. Nallakarupan berkata, dia turut menjadi mangsa Dr. Mahathir apabila dikenakan tahanan ISA pada 1998 hanya kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dr. Mahathir menyalahgunakan ISA menahan musuh politiknya, saya sendiri ditahan, Anwar pula ditahan kerana mahu menentang beliau.

“Malah ketika saya ditahan, pegawai yang datang ke rumah saya bertindak seperti saya seorang anggota komunis,” kata­nya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Sebelum ini pada 15 September 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan ISA selaras dengan kehendak semasa.

Menurutnya, Dr. Mahathir juga dilihat pada masa ini seperti seorang pemimpin yang tidak mempunyai prinsip apabila mengambil pendekatan untuk berdamai semula dengan musuh politik beliau termasuk Anwar dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang pernah dikenakan tahanan ISA.

“Dahulu Dr. Mahathir juga pernah menuduh Anwar de­ngan tuduhan liwat, saya de­ngar banyak kali tetapi kini beliau berkawan semula dengan Anwar.

“Dr. Mahathir memang pandai menipu semua pihak termasuk rakyat, beliau melakukan hal-hal begini untuk meneruskan ke­sinambungan politik sendiri,” katanya.

Nallakarupan berkata, berlainan dengan Dr. Mahathir, Najib tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk menahan musuh politik beliau.

“Hanya Dr. Mahathir yang menggunakan ISA selama 22 tahun untuk mengukuhkan kuasa,” katanya.