Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Tai­ping) dan V. Sivakumar (DAP-Batu Gajah) turut diarahkan keluar dari dewan setelah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee membuat keputusan itu dalam sidang hari ini.

Keputusan itu dibuat berikutan tindakan ketiga-tiga mereka pada 7 Mac lalu mengeluarkan kenyataan meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan.

“Tindakan ketiga-tiga Ahli Parlimen itu membuat kenya­taan tidak wajar serta enggan memohon maaf merupakan satu perbuatan yang menghina Majlis Mesyuarat dan mencemarkan prestij Dewan Rakyat.

“Justeru, saya memerintahkan ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut keluar dari Majlis Mesyuarat selama 10 hari bermula hari ini, Isnin 26 Mac,” kata Ronald.

Kekecohan seterusnya berlaku apabila Koo Ham dan Sivakumar meminta Ronald menjelaskan tentang keputusan itu, namun mereka akhirnya akur dengan arahan tersebut dan keluar dari sidang.

Tiga ahli Parlimen DAP itu sebelum ini menuntut Pandikar Amin meletakkan jawatan kerana menolak usul segera berhubung ahli perniagaan Jho Low dan soalan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Walaupun Pandikar Amin telah memberi notis menuntut mereka meminta maaf minggu lalu, Koo Ham, Kor Ming dan Sivakumar tetap berdegil serta enggan berbuat demikian.

Sementara itu, dalam sidang akhbar di bilik media bangunan Parlimen, Koo Ham dan Sivakumar tetap mempertahankan tindakan mereka serta membantah keputusan Ronald.

Malah, Sivakumar masih ber­degil dengan meneruskan gesaan meminta Pandikar Amin meletak jawatan.