Ketetapan itu diperoleh selepas usul tergempar mengutuk serangan pengganas itu dicadangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang menegaskan, serangan tersebut tiada tujuan lain melainkan untuk menanam kebencian dan mendorong keganasan di serata dunia.

“Warga dunia yang cintakan keamanan termasuk di Malaysia, harus menyatakan sikap dan mengecam keganasan ini. Kita tidak harus membenarkan sesiapa jua merosakkan kerukunan yang telah terbina atau menanam rasa takut antara satu sama lain,” katanya.

Meskipun berbeza pandangan dan fahaman politik, namun penyokong kerajaan dan wakil pembangkang senada mengutuk keras kejadian berkenaan menerui usul tergempar itu.

Ini terbukti apabila Datuk Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) bangun menyokong usul tergempar dicadang­kan Anwar itu dengan menegaskan bahawa ekstremisme tidak boleh diidentitikan dengan mana-mana agama sekali pun.

“Kita tidak salahkan keganasan pada agama-agama lain. Islam agama menitikberatkan kedamaian. Tahniah kepada kepe­mimpinan Perdana Menteri New Zealand dan kesungguhan rakyat negara itu yang bangkit menolak keganasan melampau ini,” jelas beliau.

Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) juga tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam perbahasan dengan meminta rakyat tidak mudah menyebarkan berita-berita yang tidak benar atau bertujuan menghasut.

“Serangan ini menjadi titik hitam dan tidak diterima dalam mana-mana agama pun,” ujarnya.

Datuk Dr. Khairuddin Aman (Pas-Kuala Nerus) pula mengingatkan umat Islam kini menjadi mang­sa keganasan di seluruh dunia.

“Kita harap perkara ini tidak diulang sekali lagi. Perlu dewan kita ini tegaskan bahawa apa yang berlaku di New Zealand ini adalah merupakan jenayah kemanusiaan kerana me­nyasarkan golongan beragama,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) menyifatkan keganasan tidak mempunyai agama dan bangsa.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arif Md. Yusof kemudiannya merekodkan pendirian Dewan Rakyat itu untuk dipanjangkan kepada Parlimen dan kerajaan New Zealand.

Bagi pihak Parlimen Malaysia, Mohamad Arif menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga dan mangsa yang telah terkorban dan tercedera yang turut melibatkan rakyat negara ini.

“Parlimen juga berdiri bersama dengan kerajaan dan Parlimen New Zealand menolak keganasan, kebencian serta kekerasan dalam segenap bentuk. Kami yakin kerajaan New Zealand akan pastikan keadilan dapat dilaksanakan bagi mangsa kejadian, dan mengembalikan keamanan dan keharmonian di negara itu seperti sediakala.”

Mohamad Arif mengakhiri perbahasan usul tergempar itu de­ngan meminta wakil rakyat Islam membacakan Al-Fatihah manakala bukan Islam bertafakur.