Penangguhan sidang mesyuarat itu dibuat selepas Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017, yang dibentangkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, diluluskan dengan undian suara majoriti.

Pada 2015, Dewan Rakyat mencipta rekod persidangan terpanjang selepas ditangguhkan pada 4.25 pagi mengatasi rekod sidang sebelumnya pada 3.21 pagi.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Mohamed Nazri berkata Cukai Pelancongan itu dianggarkan mampu memberi kutipan sebanyak RM654.62 juta sekiranya kadar penginapan bermalam bagi keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60 peratus.

Cukai Pelancongan 2017 bertujuan mengadakan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai pelancongan ke atas mereka yang menginap di premis pelancongan di Malaysia.- BERNAMA