Menurut beliau, apa pun alasan yang dikemukakan sama ada sibuk atau tidak berada di dalam negara, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Dewan Rakyat ketika ini sedang membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Saya faham menteri berehat kerana sedang mendapatkan rawatan dan saya juga tidak minta beliau datang tetapi kalau tiada menteri, sekurang-kurangnya ada timbalan menteri. Kalau sesiapa boleh jawab, lain kali tak payah (sesi soal jawab).

“Ini bukan pasar malam, ini Dewan Rakyat, sebab itu kita perlu menteri dan timbalan menteri berkenaan jawab betul-betul kepada pertanyaan yang diajukan kepada kementerian berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, dalam sesi soal jawab, Ali Biju (PH-Saratok) mengemukakan soalan kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung status ibu pejabat polis di Saratok namun jawapan tersebut dijawab oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd. Radzi Md. Jidin.

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong 

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, mengikut Peraturan Mesyuarat Seksyen 24 tidak menjadi kesalahan untuk mana-mana menteri atau timbalan menteri portfolio lain untuk menjawab mana-mana soalan yang dikemukakan.

Walau bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat terlebih dahulu.

“Mengikut Seksyen 24 sebenarnya boleh, memang ini perkara biasa boleh dijawab oleh mana-mana menteri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kehadiran anggota-anggota Kabinet yang tidak memberangsangkan dalam sidang kali ini, Mohd. Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, timbalan menteri sepatutnya hadir jika menteri gagal berbuat demikian. - UTUSAN ONLINE