Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sebelum memulakan waktu pertanyaan-pertanyaan menteri memohon izin daripada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon untuk setiap ahli Dewan Rakyat bertafakur sebentar.

“Mungkin kita boleh bertafakur sebentar untuk mendoakan rakyat Malaysia yang terkini telah menjadi mangsa di Christchurch, minta Dewan untuk sedekahkan Al-Fatihah,” katanya.

Mohd. Rashid kemudiannya membenarkan dan meminta untuk semua ahli Dewan Rakyat bangun dan membacakan Al-Fatihah dan bertafakur semalam seminit.

Awal pagi ini, Kementerian Luar dalam kenyataan mengesahkan Muhammad Haziq adalah antara 50 mangsa yang kehilangan nyawa dalam insiden tembakan tersebut.

Menurut kenyataan itu juga, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia akan memberikan bantuan kepada keluarga Allahyarham bagi proses pengkebumian.

Muhammad Haziq merupakan anak kepada Mohd. Tarmizi iaitu salah seorang daripada tiga orang rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian tembakan tersebut.- UTUSAN ONLINE