Dua rang undang-undang itu meliputi Rang Undang-undang Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2016 serta Rang Undang-undang Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anuge­rah 2016 berkata, undang-undang itu bukan sahaja meliputi penawaran anugerah tetapi juga yang memakai, memanggil dan membuat.

Beliau juga menegaskan bahawa perbuatan pihak tertentu yang mengangkat diri sebagai sultan atau pewarisnya meskipun hakikatnya tidak adalah sangat berbahaya.

“Kebelakangan ini akhbar nasional khususnya Utusan Malaysia memaparkan mereka yang memakai pakaian seperti sultan kita, pakai selempang, tanjak, baju ke­emasan dengan saiz anugerah yang sama, kononnya anugerah diiktiraf.

“Orang macam ini tidak siuman, sebab panggil diri dia sultan sedangkan bukan. Ini tidak diiktiraf, bahaya, sebab kalau orang tidak tahu, dia akan berjalan memanggil diri sebagai Datuk Seri, dalam kad Datuk Seri, bila kita tengok belakang kita tidak tahu anugerah dari negeri mana. Kerajaan khuatir akan memalukan kesultanan kita dan kepemimpinan negara kita,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kesalahan menerima anugerah asing yang tidak diiktiraf adalah serius, selain melibatkan kesetiaan kepada raja dan negara.