ISMAIL MUTTALIB

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, sebanyak 317 kes tidak mematuhi skim berkenaan direkodkan setakat ini.

“Daripada jumlah itu, 195 kes telah diselesaikan. Selain itu, isu tersebut juga membabitkan 607 pekerja tempatan manakala pekerja asing pula seramai 180 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) yang ingin tahu mengenai tindakan terhadap majikan yang masih enggan melaksanakan gaji minimum di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebagai rekod, gaji minimum yang ditetapkan pada hari ini ialah RM1,000 untuk negeri-negeri di Semenanjung manakala RM920 di Sabah dan Sarawak. Perintah Gaji Minimum 2016 diwartakan pada 29 April 2016 dan berkuat kuasa 1 Julai tahun sama.

Sehubungan itu, Perintah Gaji Minimum 2012 terbatal mulai 1 Julai 2016.

Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, beberapa kesan akan diterima negara sekiranya gaji minimum yang ditetapkan terlalu tinggi.

Antara paling ketara ialah akan berlaku penutupan operasi syarikat kerana majikan tidak mampu menanggung kos yang tinggi.

“Apabila itu berlaku, sudah tentu akan memberi kesan kepada pekerja. Mereka akan hilang pekerjaan dan pengangguran bakal meningkat yang dikhuatiri menimbulkan masalah sosial.

Ini sekali gus menyebabkan ekonomi negara kehilangan sebahagian tenaga kerja mahir yang ada dalam pasaran,” jelas beliau.