AZALINA OTHMAN SAID membentangkan RUU Antiberita Tidak Benar di
AZALINA OTHMAN SAID membentangkan RUU Antiberita Tidak Benar di Dewan Rakyat, semalam.

Rang undang-undang tersebut dibaca oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibentangkan dalam sidang kali ini juga.

Rang undang-undang tersebut mentakrifkan berita tidak benar merangkumi berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu.

Ia termasuk sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Menerusi rang undang-undang tersebut, mahkamah boleh memerintahkan orang yang di­sabitkan kesalahan untuk membuat permohonan maaf kepada orang yang disentuh oleh perlakuan kesalahan itu.

Selain rakyat Malaysia, rang undang-undang tersebut juga terpakai kepada warga asing jika didapati mereka menyebar berita tidak benar sama ada di dalam negara atau di luar negara ini.

Berdasarkan kepada rang undang-undang itu, mana-ma­na orang yang secara langsung atau tidak langsung menyediakan bantuan kewa­ngan bagi tujuan mengadakan, menawarkan, menerbitkan berita ti­dak benar juga boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Seterusnya, rang undang-undang itu juga memperuntukkan mana-mana orang yang mempunyai dalam milikan penerbitan yang mempunyai berita tidak benar hendaklah menghapuskan penerbitan itu.

Jika perkara itu tidak dilakukan maka orang tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000.

Selain itu, individu yang me­la­kukan kesalahan sama selepas disabit kesalahan pula boleh didenda tidak lebih RM3,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan.

Mahkamah juga boleh memerintahkan penghapusan pe­nerbitan yang mengandungi be­rita tidak benar oleh pegawai polis atau pegawai diberi kuasa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.