Ketegasan dan jaminan tersebut diberikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas terbongkarnya peranan Soros melalui Open Society Foundation (OSF) dalam membiayai organisasi an­taranya Bersih, Merdeka Center dan Malaysiakini bagi mengugat kestabilan Malaysia.

Menariknya, ketegasan Timbalan Perdana Menteri itu mendapat sokongan daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pas apabila Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam), Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) serta Idris Ahmad (Pas-Bukit Gantang) menuntut kepada tindakan kerajaan.

Menurut Ahmad Zahid, bukan sekadar tokoh tertentu, kerajaan komited melakukan siasatan ter­hadap mana-mana organisasi, portal berita atau mana-mana individu yang disyaki memperoleh sumber kewangan atau dana asing daripada Soros untuk mengganggu-gugat kestabilan politik negara.

“Ini saya mahu pastikan kepada Dewan ini dan saya harap apa yang kita lakukan, jangan sesekali kita benarkan campur tangan pihak asing dalam negara,” kata­nya ketika menggulung sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 bagi Kemente­rian Dalam Negeri di Dewan Rak­yat hari ini.

WikiLeaks sejak minggu lalu mendedahkan pelbagai pengliba­tan dan campur tangan Soros dalam negara ini antaranya cubaan melobi kepemimpinan Amerika Syarikat (AS) bagi menjauhkan diri daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain berusaha membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, Malaysia tidak memerlukan sebarang dana atau pembiayaan daripada pihak asing yang mempunyai niat serong iaitu mahu meminggirkan pemikiran majoriti rakyat negara ini.

Menyentuh mengenai demonstrasi Bersih 5.0 pula, Ahmad Zahid berkata, polis akan mengambil tindakan dengan menyiasat kumpulan terbabit di bawah Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman, memandangkan sehingga kini sebanyak 175 laporan polis di seluruh negara telah dibuat ke atas Bersih 5.0.

Beliau juga memaklumkan, Ke­menterian Dalam Negeri tidak mempunyai hubungan atau menyediakan perlindungan kepada kumpulan Baju Merah yang dike­tuai Datuk Jamal Md. Yunos dan memberi jaminan, layanan serupa akan diberikan seperti Bersih 5.0 jika mereka terbukti melanggar undang-undang negara.

Katanya, pihak berkuasa te­lah memutuskan untuk tidak membenarkan Bersih 5.0 dan kumpulan Baju Merah daripada meneruskan demonstrasi pada 19 November ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku dan jika kedua-duanya masih berdegil, tindakan tegas akan diambil.

“Saya ingin menyatakan jika tiada kuning, pasti tiada merah, jika tiada Maria Chin Abdullah pasti tiada Jamal Yunos. Jadi dalam perkara ini saya fikir, semua pihak sama ada merah atau kuning, dua-dua jangan buat perhimpunan, kerana jalan terbaik ialah di Dewan ini untuk kita berbahas,” katanya.