KUALA LUMPUR, 30 November 2017 - Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd. Mutalib ketika di temui mengenai TVET, di Parlimen di sini hari ini. GAMBAR: SAIFUL BAHARI ASHARI /PEMBERITA: SYUKRI (MEJA AM UTUSAN MALAYSIA).

Sebaliknya, kerajaan di ba­wah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mahu membantu meningkatkan kemahiran teknik serta vokasional rakyat khu­susnya belia bumiputera menerusi pelbagai inisiatif.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Da­tuk Seri Dr. Is­mail Abd. Muttalib menjelaskan, buktinya apabila kerajaan memperuntukkan sehingga RM4.9 bilion untuk Sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia pada Bajet 2018 lalu.

Sambil mengakui kaum lain khususnya Cina lebih ke depan daripada aspek TVET berban­ding bumiputera, Ismail berkata, persepsi dalam kalangan ibu bapa perlu berubah dengan tidak lagi memandang enteng kepentingan pendidikan kemahiran dan vokasional.

“Hakikatnya dalam tempoh 30 tahun akan datang, pekerjaan yang menumpukan kepada kemahiran modal insan bakal mendominasi pasaran. Jadi, kita perlu mempersiapkan anak-anak kita dengan penguasaan sektor berkemahiran supaya boleh terus bersaing pada masa depan.

“Saya telah lakukan lawatan di syarikat besar seperti Apple misalnya, saya li­hat ada anak Melayu bumiputera yang be­kerja dalam bahagian perisian, jadi saya fikir kita mampu bersaing. Peruntukan untuk semua, namun ditekankan bahawa kita tidak mengabaikan usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam kalangan bumiputera,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail mem­beritahu, penguasaan bumiputera dalam bidang-bidang kemahiran teknikal dan vokasional secara tidak langsungnya akan membantu menaik taraf perkemba­ngan ekonomi golongan itu.

“Bukti sudah ada. Ada anak Melayu yang mampu menjana pendapatan sehingga RM500,000 sebulan hanya dengan menguasai satu sektor dalam TVET,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ismail merujuk kepada satu kajian baru-baru ini yang mendapati menjelang tahun 2050, 60 peratus pekerjaan pada hari ini tidak lagi wujud.

Berikutan itu, Ismail mempersoalkan ke mana lagi anak Melayu dan bumiputera hendak pergi sekiranya tidak me­nguasai TVET ketika itu.

“Contoh anak kita kerja pasang komponen kenderaan, pada masa depan dipercayai robot akan menguasai skop tugasan ini. Jadi apa tugas anak kita nanti? Salah satunya ialah menyelenggara robot-robot berkenaan, sebab itu kita perlu galak mereka terokai bidang kemahiran,” ujar beliau.

Ismail berkata, atas penilai­an tersebut, kerajaan komited untuk memperkasakan pe­nguasaan TVET dalam kalangan belia di negara ini khusus­nya bumiputera.

Ibu bapa jangan pandang enteng bidang kemahiran, vokasional