Namun, tegasnya, sekiranya terdapat kekosongan dan keperluan mendesak adalah wajar pihak kementerian meneliti serta memberi ruang kepada pelajar bukan bumiputera memohon dan diberi tempat.

Beliau berkata, pihak kementerian juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang mengelirukan berhubung pengambilan pelajar ke program tersebut.

“Kami memandang serius tentang kecuaian dan kegagalan pihak kementerian dalam menentukan dasar yang jelas tentang kemasukan pelajar bagi Program Matrikulasi tersebut.

“Pihak kementerian sewajarnya memperhalusi semula dasar kemasukan itu dan tidak tunduk kepada tuntutan kepada mana-mana parti politik untuk membuka sewenang-wenangnya tempat kepada pelajar bukan bumiputera dan seharusnya mengekalkan objektif penubuhan asal program itu yang selari dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan bahawa penawaran tempat sebanyak 2,200 dan 1,000 kepada pelajar berketurunan India dan Cina dalam Program Matrikulasi adalah inisiatif secara ‘one-off’ bagi tahun lalu.

Perkara itu juga berdasarkan kepada keperluan semasa dan melibatkan kekosongan kuota bumiputera yang tidak diisi selain pengambilan yang dibuat masih berlandaskan sistem meritokrasi.

Mengulas lanjut, Zambri menuntut agar pihak kementerian berunding dengan semua pihak berkepentingan supaya satu dasar kemasukan Program Matrikulasi yang jelas dapat dilaksanakan tanpa mengenepikan objektif asal penubuhan program tersebut. -UTUSAN ONLINE