Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) menjelaskan, orang ramai khususnya bukan Islam tidak perlu takut dengan pindaan itu dan memberi jaminan bahawa mereka bebas untuk mengamalkan pegangan atau fahaman masing-masing meskipun RUU 355 diluluskan.

Katanya, Jadual 9, Senarai 2, Butiran 1 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan Mahkamah Syariah terpakai hanya kepada orang Islam.

Beliau berkata, RUU 355 ha­nya memperuntukkan hukuman syarak kepada orang Islam, me­ngadakan undang-undang me­ngenai kesalahan jenayah dilakukan orang Islam dan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang tertakluk hanya kepada orang Islam.

“Akta 355 ini undang-undang Persekutuan yang beri kuasa kepada Mahkamah Syariah, maka tiada yang pelik, tidak perlu satu pertikaian, persoal apa akta 355, hantu ke? Sebab semua takut sampai ugutan saman dan sebagainya.

“Tujuan RUU ini ialah untuk mendidik, mencegah, memulihkan dalam kalangan orang Islam saja. Kalau Islam baik, bukan Islam pun selamat,” kata­nya ketika menyokong pem­benta­ngan RUU 355 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin memberi­tahu, banyak pihak salah faham dengan beranggapan sekiranya pindaan RUU itu diluluskan, maka secara automatik akan diikuti oleh enakmen di negeri-negeri.

“Ini tidak betul. Akta ini di peringkat Parlimen yang membenarkan Dewan Undang Negeri (DUN) membuat enakmen de­ngan hukuman jenayah syariah tidak lebih daripada sebagaimana diperuntukkan.

“Sebagai contoh kalau kerajaan negeri Pulau Pinang tidak berhasrat untuk kuatkuasakannya, tidak apa, begitu juga Sarawak. Tidak wajib, hanya pilihan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Rak­yat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menga­kui lebih memahami dengan jelas pindaan RUU itu yang menjadi polemik sebelum ini selepas mendengar pembentangan daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) dan Takiyuddin.

Beliau kemudiannya membuat keputusan untuk mengadakan sesi perbahasan RUU itu pada mesyuarat dewan akan datang iaitu Julai.

“Hari ini saya tak nak jadi bloody fool, saya mahu guna kuasa saya, maka saga buat ketetapan bahawa perbahasan selanjutnya dikemukakan ke majlis untuk dibahas dan diputuskan pada sesi akan datang,” ujar beliau.