Majlis pecah tanah projek bernilai RM18 juta itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau.

Abdul Rahman berkata, pembinaan jambatan itu menjadi keutamaan Unit Perancangan Ekonomi kerana bakal menjadi 'game changer' dalam memacu pembangunan pekan Tuaran.

Beliau berkata, jambatan itu turut menjimatkan masa penduduk kampung di seberang Sungai Damit kepada lima minit untuk sampai ke pekan tersebut berbanding hampir satu jam sebelum ini kerana terpaksa melalui jalan jauh.

"Dengan adanya jambatan ini akan menggandakan saiz pekan Tuaran yang sebelum ini terhad kerana adanya sungai berkenaan sehingga penduduk terpaksa melalui jalan jauh untuk sampai.

"Ini merupakan satu projek game changer kerana kita bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi sini tetapi menjimatkan wang kerajaan kerana kalau tiada jambatan mungkin kerajaan terpaksa membina hospital baharu, balai bomba, balai polis dan juga pejabat-pejabat kerajaan untuk kemudahan kampung berkenaan," katanya dalam sidang akhbar selepas upacara pecah tanah berkenaan.

Menurut Rahman, Jabatan Kerja Raya akan memulakan pembinaan jambatan itu Disember depan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan.

Jelasnya, spesifikasi jambatan berkenaan adalah sepanjang 104 meter dua hala yang turut dilengkapi dengan laluan pejalan kaki berkeluasan 1.5 meter serta trek basikal di kedua-dua belah.-UTUSAN ONLINE