Menurut Najib, pentadbirannya sebelum ini hanya membangunkan bangunan pejabat setinggi 28 tingkat di kawasan Wan Chai, Hong Kong itu.

Katanya, pada asasnya beliau tidak menyokong penjualan aset berkenaan kerana perkara itu akan memberi kesan kepada kebolehan menjana nilai dan pendapatan.

“Pada prinsipnya, bila kita ada aset kita tak jual. Kita simpan sebab aset kita boleh meningkat dari segi nilai dan boleh menjana keuntungan jangka panjang. Jadi, dari segi dasar saya kurang setuju aset dijual,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Februari lalu, akhbar The Star yang memetik laporan Ming Pao mendedahkan Kumpulan Evergrande China dalam perbincangan untuk membeli bangunan milik kerajaan Malaysia di Hong Kong.

Kerajaan merancang untuk menjual bangunan 28 tingkat itu pada harga HK$3.1 bilion atau kira-kira RM1.61 bilion. - UTUSAN ONLINE