Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata, dua individu yang memegang jawatan tersebut ialah Tan Sri Abdul Kadir Yusuf dan Tan Sri Hamzah Abu Samah pada 1980-an.

“Tetapi kalau Pakatan Harapan (PH) bercakap pasal janji, buat ini dulu. Minta parti-parti komponen pakatan angkat interpretasi sebenarnya kedudukan Peguam Negara dalam negara kita,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas beliau, Peguam Negara merupakan individu paling berkuasa dalam mendakwa dan menjadi penasihat undang-undang kepada kerajaan.

Azalina memberitahu, pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya boleh dilaksanakan di bawah Jadual 11 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan Peguamcara Negara boleh menjadi Pendakwa Raya, tanpa perlu meminda peruntukan undang-undang tersebut.

“Maknanya keluarkan kuasa Peguam Negara menjadi lantikan politik dalam dewan dan Peguamcara Negara menjadi Pendakwa Raya. Kalau tidak semua tindakan mahkamah dalam pendakwaan akan dilihat sebagai berat sebelah,” katanya. – UTUSAN ONLINE