Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah menegur dan menasihati Ahli-ahli Parlimen terbabit.

“Saya juga telah memberi pe­ringatan kepada mereka supaya mengambil serius dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Misi Kemanusiaan Halal Malaysia bagi Pelarian Rohingya di Bangladesh di pekarangan bangunan Parlimen hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industry Development Corporation (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin.

Isnin lalu, wakil-wakil pembangkang menimbulkan kekecohan dalam sidang Dewan Rakyat semata-mata kerana tidak ber­puas hati dengan proses undi belah bahagian yang dijalankan mengikut peraturan.

Mereka berbuat demikian selepas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengumumkan keputusan undi belah bahagian yang menunjukkan sebanyak 52 Ahli Parlimen bersetuju, 51 orang tidak bersetuju manakala dua orang lagi berkecuali.