Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pada masa ini, sumbangan dana wakaf tidak diberi pengecualian di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Katanya, sehingga kini, 14 universiti awam telah menubuhkan pusat wakaf setelah mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) masing-masing sementara enam lagi sedang menunggu kelulusan untuk melancarkan inisiatif yang sama.

"Berhubung perkara ini, kementerian dalam proses perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan pengecualian cukai untuk penyumbang wakaf di bawah seksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad (Pas-Pasir Puteh) yang bertanyakan jumlah sumbangan yang diperolehi oleh setiap universiti awam dari tahun 2008 hingga 2017 dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Idris, kutipan wakaf oleh 14 buah universiti awam mencatatkan jumlah kira-kira RM26 juta dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan kutipan tertinggi sebanyak RM9.1 juta. - UTUSAN ONLINE