Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi sesiapa sahaja berhak untuk menyuarakan pendapat masing-masing termasuk mengatakan laporan itu sebagai subjudis.

“Pendapat saya lain, subjudis ini kadang-kadang terpakai kepada sesetengah perkara kerana kalau subjudis terpakai kepada kes seperti ini bermakna Dewan Rakyat tidak boleh buat apa-apa pun.

“Bagi saya biarlah Parlimen buat kerja, mahkamah buat kerja dan eksekutif buat kerja masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Komanwel 2018 anjuran Parlimen Komanwel Cawangan Malaysia (CPA) bersama Parlimen Malaysia di Dewan Bankuet, bangunan Parlimen hari ini.

Sebelum ini, ahli-ahli Parlimen DAP antaranya Datuk Ngeh Koo Ham menggesa Pandikar Amin menyekat laporan tersebut daripada dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Beruas itu mendakwa, pada 17 Mac lalu kerajaan Pulau Pinang telah memfailkan usul bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dengan lapan soalan perundangan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi negara ini sekali gus menjadikan laporan kajian semula persempadanan itu sebagai subjudis. - UTUSAN ONLINE