Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, tiga elemen tersebut merupakan harapan masyarakat negara ini untuk menyaksikan kesemua isu yang berbangkit di institusi Parlimen dapat dibahaskan secara profesional dan berhemah.

“Ahli-ahli Parlimen perlu menjaga tutur kata ketika berhujah dengan memastikan tiada penggunaan bahasa rojak atau bahasa pasar ketika bersidang supaya nilai-nilai rasmi itu wujud dalam sistem Parlimen negara ini.

“Dalam masa sama, ahli-ahli Parlimen perlu peka dengan peraturan dan larangan mesyuarat supaya tidak mengganggu perjalanan sidang Dewan Rakyat selain menjaga tingkah laku agar selari dengan gelaran ‘Yang Berhormat’,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Awang Azman, stamina mental dan fizikal ahli-ahli Parlimen juga perlu berada di tahap yang terbaik kerana mereka bertanggungjawab membawa suara kesemua pengundi di kawasan masing-masing.

“Jangan sesekali menyalahgunakan kedudukan Parlimen untuk kepentingan parti politik masing-masing. Setiap perbahasan perlu dilakukan secara rasional demi rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad berkata, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu mengemukakan usul yang bersifat konstruktif kerana kedudukan mereka sebagai pembangkang bakal menjadi tumpuan pelbagai pihak.

Kata beliau, mereka perlu menyesuaikan diri dengan cepat sebagai pemerhati kepada kerajaan dengan memastikan kesemua manifesto Pakatan Harapan dilaksanakan demi kebajikan rakyat.