Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, pada masa ini, pihaknya telah melaksanakan kurikulum bersepadu tahfiz tersebut di 11 sekolah menengah kebangsaan agama, empat sekolah berasrama penuh dan 16 sekolah agama bantuan kerajaan yang membabitkan sebanyak 9,000 pelajar dan 511 guru tahfiz interim.

Beliau berkata, kurikulum pembelajaran pendidikan Islam sedia ada memberi penekanan terhadap aspek ilmu, amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan.

“Kementerian berpandangan kurikulum sedia ada masih relevan dalam pembentukan akhlak dan tingkah laku pelajar di sekolah.

“Justeru, melalui pendekatan ini diharap dapat melahirkan pelajar yang mengamalkan ilmu dipelajari dan menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai sikap jati diri serta semangat patriotisme, sekali gus memacu usaha kerajaan dalam memupuk masyarakat berakhlak tinggi,” katanya semasa sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (Pas-Temerloh) yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan sama ada TMUA akan diperluaskan ke sekolah kebangsaan. – UTUSAN ONLINE