AZALINA OTHMAN SAID

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setakat ini, draf berke­naan masih berada di pe­ringkat kementerian untuk diteliti.

“Setakat ini masih di peringkat pramatang, sukar untuk saya komen dengan lebih lanjut ter­masuk­ dari segi bentuk hukuman.

“Dalam masa seminggu dua ini, kita akan bawa dan bentangkan ke Kabinet bagi membuat penentuan,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Undang-undang bagi mena­ngani berita palsu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Janua­ri lalu bagi mengekang penularan berita palsu yang menjadi ancaman kepada negara.

Menurut Azalina, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk definisi berita palsu sebelum memasukkan akta berkaitan rang undang-undang berita palsu itu bagi bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

“Kita juga perlu mengambil kira tempoh persida­ngan sama ada kita mempunyai waktu yang mencukupi untuk membahaskan rang undang-undang ini.

“Setakat ini ha­nya ada satu akta lengkap yang sedia untuk disenaraikan dalam peraturan mesyuarat manakala yang lain masih menunggu kelulusan pe­ringkat Kabinet,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V ketika merasmikan majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13 yang turut menyentuh mengenai berita palsu menunjukkan rang undang-undang bagi mena­ngani berita palsu relevan dengan si­tuasi masa kini.

Sementara itu, menerusi kenyataan, Azalina berkata, beliau merakamkan sembah ucapan terima kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk kerajaan menangani berita palsu melalui cadangan kepada penggubalan undang-undang yang baharu.

“Sememangnya kerajaan hari ini tidak pernah berkompromi dalam soal keselamatan dan keamanan negara sama ada ancaman dari dalam atau luar negara yang turut merangkumi ruang siber,” katanya.