Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, langkah itu bukan sahaja berupaya meningkatkan permintaan terhadap buah-buahan tempatan, malah dapat mengimbangi kemasukan buah-buahan import.

Beliau yang juga Pengerusi Koperasi Petani Muda Malaysia Berhad (KPMM) memberitahu, rakyat juga seharusnya menyedari buah-buah tempatan mempunyai khasiat yang tinggi.

“Amalan mengutamakan buah-buahan tempatan sekurang-kurangnya dapat membantu petani kita meraih pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Pesta Buah-buahan Tempatan di perkarangan bangunan Parlimen hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. – UTUSAN ONLINE