Timbalan Menteri Pe­ngangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, keputusan tersebut berikutan penggunaan tayar celup menepati piawaian yang ditetapkan Malaysian Standard (MS) dan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata, tayar celup juga mampu mengurangkan jumlah tayar terpakai, selain menjimatkan kos pembuatan tayar sehingga 30 peratus berbanding penghasilan tayar pneumatik baharu.

“Berdasarkan kajian ilmiah antarabangsa, tayar celup selamat digunakan oleh semua kenderaan kerana setanding dengan tayar pneumatik baharu.

“Selain itu, penggunaan tayar celup juga dapat membantu mengurangkan jumlah tayar terpakai dengan memulihkan tayar itu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan penggunaan mesra alam,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan kepada Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz (BN-Tanah Merah) yang memohon penjelasan tentang langkah kerajaan menangani kemalangan di lebuh raya yang didakwa berpunca daripada peng­gunaan tayar celup.

Ab. Aziz berkata, La­poran Perangkaan Kemalangan Jalan Raya Malaysia Tahun 2013 yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan hanya lapan atau 0.03 peratus daripada kemalangan yang berlaku berpunca daripada masalah tayar celup.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan, katanya, prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan kepada setiap konsesi lebuh raya untuk mena­ngani masalah lori tersadai di tepi lebuh raya bagi memastikan ke­selamatan pengguna lain terjamin.

“Telah ditetapkan setiap kenderaan yang tidak bergerak atau statik di tepi lebuh raya disaran dialihkan dalam tempoh dua jam.

“Semua kenderaan dikehendaki membawa segi tiga keselamatan dengan pemantul cahaya yang mesti diletakkan 50 meter di belakang kenderaan. Ini bagi memberi amaran kepada kenderaan lain,” tambahnya.