Hishammuddin yang merupakan Menteri Pertahanan pada penggal lalu turut menuding jari kepada pembahagian belanjawan kepada kementerian itu yang didakwa tidak selari dengan pendirian ketelusan sebagaimana ditekankan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Misalnya, Ahli Parlimen Sembrong itu mempersoalkan keinginan disebut-sebut Kementerian Pertahanan yang dipimpin Menterinya, Mohamad Sabu membeli pesawat terbang tanpa pemandu (UAV) dan pesawat pemantau maritim sedangkan peruntukan dikurangkan sebanyak RM2 bilion.

“Kalau dulu pun kita tidak mampu beli aset-aset sebegini, macam mana beliau nak yakinkan orang ramai bahawa aset itu dapat dipenuhi dengan belanjawan dibentangkan.

“Kedua, dalam konteks penyelenggaraan, menteri kata penyelenggaraan seperti biasa tetapi saya kaji belanjawan kali ini peruntukan penyelenggaraan pun dikurangkan 84 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Parlimen hari ini.

Hishammuddin dalam pada itu turut mempersoalkan me­ngenai diplomasi pertahanan dengan negara lain yang didakwa bakal diteruskan.

Hal ini kerana, Hishammuddin tidak nampak diplomasi dimaksudkan terutama hubu­ngan trilateral antara Malaysia, Indonesia dan Filipina dalam menangani ancaman keganasan di selatan Mindanao.

“Jadi saya bimbang apa yang dinyatakan fakta realiti dan ketelusan dalam belanjawan ini. Saya tidak tengok pecahan perkhidmatan, laut, udara dan darat, saya tidak tengok kenya­taan menteri berkait dengan aset dapat disandarkan peruntukan sedia ada.

“Saya tidak nampak penyelenggaraan dapat diimbangi dengan keutamaan lain dalam kementerian. Hala tuju tidak jelas, jauh daripada manifesto PH tentang ketelusan dalam apa yang mereka mahu bawa,” tegas beliau.

Ketika ditanya perkembangan mengenai usaha beliau membantu mencari ahli perniagaan, Jho Low yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Hishammuddin memberitahu, beliau masih berhubungan dengan pihak China.