Mohamed Nazri Abdul Aziz

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa pembayaran semula cukai itu akan dibuat secara saksama berdasarkan peratusan cukai pelancongan yang dikutip di setiap negeri.

"Setiap negeri boleh menggunakan peruntukan ini bagi membangunkan sektor pelancongan negeri masing-masing khususnya promosi dan pemasaran destinasi yang lebih agresif, penganjuran acara pelancongan, pembangunan modal insan dan pembangunan projek pelancongan berskala kecil," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) yang bertanya tentang jumlah perolehan kutipan cukai itu sejak ia dilaksanakan pada 1 Sept lepas semasa sesi soal jawab lisan persidangan itu hari ini.


Mohamed Nazri berkata pembayaran itu akan dibuat setiap tiga bulan sekali secara terus kepada kerajaan negeri.


Beliau berkata cukai pelancongan sebanyak RM39,975,634 dikutip dari 1 Sept hingga 31 Dis lepas.

"Kuala Lumpur mencatatkan kutipan tertinggi iaitu RM16,625,258 diikuti Sabah sebanyak RM4,530,628, Pulau Pinang RM3,881,655, Pahang RM3,473,803 dan Johor RM2,716,739," katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-SIK) sama ada kutipan itu menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini, Mohamed Nazri berkata ia tidak berlaku malah kutipan cukai diterima baik oleh para pelancong. - BERNAMA