Mereka berpendapat, cukai jualan sebanyak 10 peratus dan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus dibimbangi bertindih dan dikenakan kedua-duanya kepada pengguna berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang hanya satu jenis cukai yang berkadar enam peratus.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, di bawah SST, restoran-restoran makanan segera dan francais akan mengaut keuntungan yang lebih tinggi berbanding GST .

“Ini yang kita sebut kesan daripada SST ini adalah 10 peratus campur enam peratus, ia akan menjadi 16 peratus,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Jeli) memberitahu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memberi penjelasan yang terperinci mengenai pelaksanaan SST kepada rakyat bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan pengguna.

“Perlu ada pencerahan dan program pendidikan untuk membolehkan rakyat memahami dan mengenali apa itu SST,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata, cukai perkhidmatan yang turut dikenakan terhadap penggunaan elektrik melebihi 600 unit juga akan membebankan sekolah-sekolah di negara ini.

“Kalau dari segi elektrik, bekalan kepada sekolah ada subsidi yang diberi kerajaan. Tetapi, ada lebihan perlu dibayar oleh pihak sekolah jika penggunaan melebihi 600 unit. Itu kita kena tengok balik,” ujarnya.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) pula berkata, kerajaan tidak perlu bergantung kepada SST semata-mata untuk memastikan kos sara hidup rakyat rendah dan harga barang tidak naik.

Menurut beliau, kerajaan perlu melihat masalah kos sara hidup secara holistik dan menangani­nya dengan menggunakan pelbagai strategi.