Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, kepemimpinan Barisan Nasional (BN) tidak boleh menerima tuduhan Guan Eng dalam sidang Dewan Rakyat semalam kerana Ahli Parlimen Bagan itu gagal memberi jawapan secara tepat.

“Kalau betul berlaku penye­le­wengan, tak dipulangkan wang GST peniaga, maka siapa yang membuat keputusan mesti diba­wa ke muka pengadilan.

“BN tidak boleh menerima apa­bila dituduh merompak RM19.4 bilion wang pembayar cukai GST,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Khairy yang juga Timbalan Ke­­tua UMNO Bahagian Rembau memberitahu, perkataan ‘dirompak’ yang disebut Guan Eng itu ada­lah satu tuduhan yang besar.

“Memandangkan tuduhan itu membabitkan perbuatan jena­yah, maka siasatan dalaman di Kementerian Kewangan sahaja tidak mencukupi,” jelasnya.

Beliau juga telah membuat la­po­ran berhubung isu tersebut di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul ha­ri ini dan akan mengemukakan la­poran sama kepada Suruhanja­ya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok.

Sementara itu Kiandee berkata, dakwaan Guan Eng itu akan di­bawa kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).

“Sebagai Pengerusi PAC yang ba­haru, saya cadangkan di bawah peraturan Mesyuarat 77 (1) dakwaan terhadap RM19.4 bi­lion ya­ng dikatakan hilang itu dibawa ke prosi­ding akan datang,” jelas­nya.

Dalam pada itu, Mustapa memberitahu, sekiranya kerajaan Paka­tan Harapan (PH) benar-benar ber­tanggungjawab, maka ha­sil sia­satan dalaman Kementerian Ke­wangan perlu dikemukakan kepa­da umum.

“Dalam semangat ketelusan dan reformasi yang dijanjikan oleh kerajaan serta berlaku adil, perkara ini kemudiannya wajar dirujuk kepada PAC,” katanya.