MUJAHID YUSOF RAWA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak meneruskan program itu kerana sumber da­nanya didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat tersebut yang ketika ini dalam siasatan.

“Walaupun mereka nak bayar sendiri tetapi sebab bermula daripada Yayasan 1MDB dan yayasan sedang disiasat sebab ada kaitan dengan 1MDB, maka kita tidak akan teruskan.

“Kena ingat kuota yang diberi kepada Yayasan 1MDB itu pun kita ambil kuota orang lain. Jadi tidak adil jika kita hendak teruskan sebab bagi kita Yayasan 1MDB sudah diberhentikan sebab dalam siasatan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang ingin meminta pertimbangan kerajaan supaya memberi peluang kepada 1,200 individu yang menerima surat tawaran di bawah Program Haji 1MDB menunaikan ibadah tersebut tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Mujahid mendakwa, Program Khas Haji di bawah Yayasan 1MDB mempunyai kepenti­ngan politik kerana nama-nama bakal jemaah yang akan menunaikan ibadah tersebut dikemukakan oleh ketua-ke­tua UMNO bahagian.

Beliau memberitahu, Yayasan 1MDB yang diwujudkan pada tahun 2011 khusus untuk imam dan bilal namun pada tahun 2013 bilangan mereka diperluaskan bukan hanya imam dan bilal malah merangkumi ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung menyebabkan bilangannya bertambah.

“Kami telah membuat keputusan menghentikan peruntukan haji daripada Yayasan 1MDB, maka 1,200 orang yang menerima surat itu pun terbatal semuanya. Bukan soal zalim atau sebagai­nya, tetapi sebagai kerajaan baharu kena buat dasar baharu bukan ambil daripada bekas Perdana Menteri yang lalu,” katanya.